CERITA JENAKA adalah genre sastra rakyat Melayu yang mempunyai unsur lucu atau humor dan geli hati. Kelompok cerita jenaka terdiri dari beberapa cerita yang pendek atau yang mengandung satu episode mengenai satu watak tertentu saja. Cerita dapat dipanjangkan dengan menambah episode dari semasa ke semasa mengikut keadaan dan selera masyarakat.
Cerita-cerita jenaka Melayu tradisional menurut sifat watak-watak utamanya dapat digolongkan dalam 3 jenis yaitu:
1. bodoh sial, yang termasuk dalam golongan ini ialah Lebai Malang dan Pak Kaduk;
2. pintar bodoh, dalam golongan ini ialah Pak Pandir;
3. pintar, dalam golongan ini termasuklah Pak Belalang dan Si Luncai.
Unsur humor ditimbulkan dengan mendedahkan kebodohan, kelurusan atau kepolosan sesuatu watak sambil mengemukakan pengajaran dan sindiran kepada pendengar atau pembaca. Unsur humor juga ditimbulkan melalui sindiran terhadap golongan raja yang dipermain atau diperbodoh oleh watak utama cerita.
Cerita jenaka yang terdapat dalam masyarakat Melayu antara lain Cerita Pak Kaduk, Cerita Pak Pandir, Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Belalang, Cerita Si Luncai, Cerita Mat Jenin, Cerita Pelanduk Jenaka, Musang Berjanggut, Sang Lamri, Cerita Abu Nawas dan Hikayat Mahshodhak. Cerita-cerita ini sebenarnya merupakan embrio cerita pendek Melayu.
Dalam alam Melayu Haji Ibrahim Datuk Kaya Muda Riau, yang hidup sezaman dengan Raja Ali Haji dan von de Wall, adalah orang yang pertama menuliskan cerita lisan ke dalam bentuk tulisan. Karya-karya yang ditulisnya dari khazanah sastra lisan kepada sastra tertulis adalah Lebai Malang, Pak Belalang dan Pantun-pantun Melayu. Lebai Malang dan Pak Belalang yang merupakan embrio cerita pendek Nusantara, sedangkan Pantun-pantun Melayu merupakan ‘mawar antologi’ pantun yang pertama dalam tamadun Melayu.
Selanjutnya, ada nama R.O. Winstedt menurunkan cerita-cerita tuturan seorang penglipur lara di Chendering, Perak, bernama Raja Haji Yahya. Kumpulan cerita jenaka ini diterbitkan dalam sebuah buku dan diberi judul Cerita Jenaka oleh Winstedt yang diterbitkan pada tahun 1953 oleh Malaya Publishing House. Kumpulan cerita yang sama diterbitkan semula oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn. End. pada tahun 1963 dan diulang cetak berkali-kali untuk kegunaan di sekolah.
Cerita Pak Kaduk, Cerita Pak Pandir, Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Belalang, Cerita Si Luncai dan Cerita Mat Jenin digolongkan ke dalam cerita jenaka Melayu, karena menggambarkan unsur humor Melayu. Dipercayai Cerita Pelanduk Jenaka berasal daripada cerita binatang dalam kesusastraan Hindu, tetapi muncul dalam sastra lisan Melayu dengan penyesuaian tempatan. Cerita Sang Lamri dan Cerita Abu Nawas jelas menunjukkan bahwa cerita-cerita itu berasal dari kesusastraan Arab dan mengandung unsur humor yang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Timur Tengah.
Hikayat Mahshodhak pula jelas berasal dari sastra Hindu dan mengemukakan suatu watak kanak-kanak yang bijak, hingga hikayat ini mendapat kedudukan yang penting di istana. Hikayat ini pernah dikaji oleh von de Wall dan diterbitkan dengan judul Hikayat Masjhoe-doelhak, di Betawi pada tahun 1916 hasil kerja sama dengan Haji Ibrahim Datuk Kaya Muda Riau. Pada keseluruhannya, unsur kelucuan yang terdapat dalam cerita jenaka adalah sama. Unsur kelucuan itu diambil daripada kehidupan sehari-hari, tetapi dilihat dari sudut yang dapat menimbulkan rasa geli hati dan ketawa. Ada juga terdapat cerita jenaka yang mengemukakan unsur lucu pada tahap yang lebih tinggi seperti menduga akal dan pengetahuan seseorang.








